MaGIC bantu peneroka Felda - NTIS

December 1, 2020

KUALA LUMPUR: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan kerjasama melalui Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS).

Kerjasama itu bertujuan me­ningkatkan daya saing sektor pertanian negara dan struktur bagi peneroka di bawah skim Felda.

Usaha sama itu diketuai oleh MaGIC selaku Sekretariat Utama NTIS bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebagai rakan pembiayaan utama.

Menurut MaGIC, lima syarikat teknologi tinggi telah dipi­lih untuk menjalankan ujian tekanan untuk pelbagai kemudahan dron dan robot dalam menambah baik aspek penuaian, penyelenggaraan dan pembajaan ladang kelapa sawit di lokasi Felda terpilih.

Ia adalah ujian kumpulan pertama yang akan dijalankan dalam tempoh masa enam hingga 12 bulan, dan hasil penemuan dari inisiatif ini akan diterapkan ke lebih banyak lokasi pertanian dalam masa terdekat.

Dua skim Felda Mempaga di Pahang seluas 25 hektar telah diperuntukkan sebagai tempat pelaksanaan bagi kemudahan dron dan robotik ini.

Katanya, kerjasama itu juga melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang akan menguji penyelesaian ini untuk tempoh 6 hingga 12 bulan di kawasan yang ditentukan berdasarkan aras pencapaian yang ditetapkan oleh penyedia penyelesaian teknologi.

“Melalui projek ini, kerajaan menjangka dapat meningkatkan purata pendapatan peneroka Felda dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi serta pekerjaan terutama bagi generasi peneroka baharu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Majlis menandatangani kerjasama itu diadakan secara maya dan dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC dan Ketua Sekretariat NTIS, Dzuleira Abu Bakar.

Dzuleira berkata, pihaknya gembira dapat menghubungkan syarikat pemula dengan Felda kerana melalui kerjasama itu, MaGIC dapat memaju dan memperluaskan lebih banyak penyelesaian sektoral.

“Ini termasuk memberikan maklumat secara langsung mengenai permintaan pasaran, pengesanan awal dan amaran mengenai wabak penyakit di samping manfaat lain yang dapat dicapai melalui pelaksanaan Internet Kebendaan (IoT) dan Industri 4.0,” katanya. – UTUSAN